CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, April 28, 2009

Hati: Penyakit Dan Ubatnya

1. Penyakit dan Ubatnya Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan, “Sesungguhnya dalam hati terdapat sebuah robekan yang tidak mungkin dapat dijahit kecuali dengan mengadap penuh kepada Allah s.w.t. Di dalamnya juga ada sebuah keterasingan yang tak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah. Di dalam hati juga ada sebuah kesedihan yang tidak akan mampu diseka kecuali dengan kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah dan ketelusan berinteraksi dengan-Nya. Di dalam hati juga terdapat sebuah kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju Allah. Di dalam hati, juga terdapat gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan, dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan dengan-Nya.”

Pernahkah anda merasakan makna – makna spiritual ini sebelumnya? Di dalam hati ada robekan, keterasingan, kesedihan, kegelisahan, dan gejolak api... ada pelbagai penyakit yang ubatnya tiada lain hanyalah dengan “mengenal Allah”.


2. Pancaran Hati Berikut ini beberapa nilai spiritual yang akan dijelaskan dengan mudah oleh Ibnul Qayyim rahimahullah. Ketahuilah, setiap kali hati anda mampu menangkap makna – makna ini dengan baik, setiap kali pula hati anda akan bersinar cerah, jiwa dan batin anda pula berseri bahagia.

Ibnul Qayyim rahimahullah mengatakan, “Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantunglah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain merasa bahagia dengan kekasih – kekasih mereka, jadilah dirimu merasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang lain pergi mengadap raja - raja dan para pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikanlah dirimu betul – betul mencintai Allah.”

Sungguh, inilah kata – kata yang muncul dari dalam sanubari dan keluar meluncur dengan kuat. Saya rasa anda sekarang masih baik – baik saja, sebab anda telah bersiap menerima kata – kata ini, dan persiapan anda juga merupakan persiapan yang kuat. seluruh perasaan dan kepekaan berhimpun dan bergejolak membuat hati bahagia. Seluruh gejala ini membentuk sebuah kenyataan alami yang indah, yang bernama “kecerahan hati”.


3. Perindu Syurga Ibnul Qayyim rahimahullah juga mengenengahkan sebuah trilogi sikap dengan begitu indah. Apabila anda membaca dan menyimpannya dengan baik di dalam hati, reaksi yang muncul akan begitu cepat tidak seperti yang anda sangkakan.

Beliau mengatakan, “Jangan pernah putus asa untuk teguh menunggu gerbang, meskipun engkau terusir. Jangan pernah berhenti untuk memohon ampunan meskipun engkau tertolak. Begitu gerbang telah terbuka, segeralah masuk selayaknya seorang tamu yang tak diundang. Kemudian, tadahlah tanganmu di gerbang dan segeralah berkata, ‘Tolonglah, saya adalah orang miskin. bersedekahlah untuk saya....!”

Saudaraku, bacalah kata – kata di atas sekali lagi, dan selamilah betul – betul maknanya. Ketahuilah, lautan ini amat dalam, dan mutiaranya terletak didasar yang paling dalam! Jangan pernah putus asa untuk teguh menunggu gerbang, meskipun anda terusir! Anda ingin menangis ketika solat tetapi anda tidak boleh. Anda ingin meraih kekhusyukan, tetapi anda tidak tahu bagaimana caranya. Jangan pernah berhenti dan berpatah harapan. Jangan pernah berhenti untuk memohon ampunan meskipun anda tertolak!

Anda pernah membuat maksiat lalu anda bertaubat dan memohon ampunan, tetapi kemudian anda kembali melakukannya. Saat begitu, jangan pernah berhenti untuk memohon ampun. Begitu gerbang telah terbuka, segeralah masuk selayaknya seorang tamu yang tak diundang!

Ada pengajian di masjid sana, pergilah bersama para jemaah, teruslah bersama orang – orang yang rajin membaca dan merenungi Al – Quran. Apakah anda pernah merasakan manisnya nilai – nilai ini sebelumnya?

Sungguh, kata – kata ini di dalam hati berubah menjadi nyawa, sehingga hati pun menjadi hidup. Demi Allah, katakan dengan jujur, bilakah kali terakhir anda merasa khusyu’ mengadap Allah? Bilakah terakhir kali anda bersujud memohon kepada Allah agar kemanisan rasa khusyu’ ini tidak pernah akan berakhir?

Saudaraku tercinta, siapkan diri anda untuk meraih nilai – nilai ini. tempatkan dan hormatilah kekhusyu’kan sebagaimana semestinya. Saya sekarang yakin dengan anda! Sebab hal seperti ini tidaklah mustahil bagi seorang “perindu syurga”.





*Ibadah Sepenuh Hati oleh Amru Khalid. Dipetik dari blog Ibnu Yahya Al almalizy.blogspot.com

Tuesday, April 21, 2009

Maksiat Di Depan Mata, Dimanakah Kita?

Hari ini, ketika ini, dan saat ini, ketika kemungkaran dan maksiat menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan ummat yang kita sayang, DIMANAKAH KITA?

Dimanakah kita yang mengatakan bahawa kita meletakkan

  • Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan,
  • Rasulullah sebagai model ikutan,
  • Allah sebagai tujuan dan
  • Jihad fi sabilillah sebagai penamat kehidupan??


Amatlah jelik sekali pada masa ini ketika ummat yang lantang berkata kononnya kita menegakkan negara Islam di kalangan pemimpin-pemimpin kita,mereka yang dengan lantang mengatakan kita ikut langkah Islam dalam negara ini, turut sama leka dalam jalan taghut.

Malah amat lagi menyedihkan bilamana maksiat itu dilihat sebagai perkara biasa yang normal untuk berlaku dimana-mana.


Saudara ku,

Syaitan akan mengindahkan pandangan manusia ini atas maksiat yang kita lakukan.

Perhubungan tanpa batasan atas nama cinta sejati antara dua insan dipandang indah oleh masyarakat, dipandang cantik oleh sahabat handai malah dipopularkan oleh ramai dalam kalangan kita dan bahkan ia dipandang mulia.

Namun, perhubungan untuk membina baitul muslim secara baik dan suci tanpa ikatan dan perhubungan yang keji dipandang kolot dan ketinggalan zaman bahkan tidak lagi sesuai dengan zaman ini.

Pemuda-pemuda dan para pejuang yang membawakan dakwah Islamiyah, yang ingin meletakkan kefahaman yang betul kepada ummat dipandang sebagai orang penyibuk bahkan mungkin sekali akan dilabel sebagai ‘terrorist’, pengganas, malah dilabel juga sebagai ‘extremist’. Wujudkah ekstremist dalam beragama? Andai mereka yang mahu menegakkan perintah Allah, mendukung kebenaran serta menjalankan perintah Allah itu digelar ekstrem, bukanlah patut kita gelarkan mereka yang sengaja mahu melanggar perintah Allah juga sebagai ekstrem? ‘Ekstrem’ dalam melakukan kemungkaran. Tidak layakkah begitu?



Para pendokong yang ingin membawa semula ummat Islam kepada Islam dipandang sebagai lebai-lebai yang kuno,kolot dan ketinggalan zaman. Bahkan senang sekali dikatakan:

“Aku enjoy,enjoy gak. Ibadat,ibadat jugak”.

Maka adakah kehidupan kita ini membezakan kehidupan ini dengan Islam?

Bukankah sebagai muslim, kehidupan kita adalah Islam dan Islam itu adalah kehidupan. Bahkan untuk berseronok sakan pun bukankah lebih cantik dan lebih indah sekali kalau ianya selari dengan jalan Islam.

Tiada pergaulan tanpa batas. Tiada kelucahan. Bahkan da`wah juga dapat disampaikan melalui hiburan. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Tidak semestinya lagu nasyid sahaja perlu ada unsur da`wah. Bukankah lebih cantik andai lagu rock juga ada unsur da`wah?

Tidakkah lebih jelik pabila ketika ada segolongan pihak yang ingin membuat tugas menyedarkan ummat tentang hakikat Islam ini dihalang dengan kuatnya. Tetapi mereka yang ingin melakukan konsert, pesta, keraian yang bukan-bukan dibenarkan dengan sesuka hatinya? Maka dimanakah kononnya Islam yang dilaung-laungkan itu?

Adakah Islam itu hanya tertegak dengan kata? Adakah Islam itu tertegak hanya dengan ceramah dan jualan air liur sahaja?

Saudaraku,

Islam itu adalah kehidupan kita. Saat kita mengucapkan shahadah, kita telah berikrar dan mengikat perjanjian untuk menerima Islam sepenuhnya.

Tiada istilah “part time Muslim”. Hari ini aku ikut jalan kafir, esok aku ikut jalan Islam. Tiada istilah pengasingan Islam dari kehidupan. Tidak ada pengasingan Islam itu dari pemerintahan. Kerana Islam ini sungguh lengkap dan syumul.

Segalanya dari aspek kehidupan seharian, pemerintahan malah kematian. Ketika kita bershahadah, kita telah berikrar pada aqidah kita dan juga kita juga berikrar bahawa kita sanggup mengikut Islam ini.

Adakah shahadah itu sekadar hanya kata-kata kosong??? Renung-renungkan bersama.

Sumber : www.cetusanminda.wordpress.com
Rujukan : www.halaqah-online.com

Monday, April 20, 2009

Wudhuk Pembersih Zahir Batin

SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik. Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.

Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik. Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga.

Kenapa? Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty). Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat. Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih 
cemerlang kerana kesan daripada air wuduk."


Ini satu jaminan kecantikan yang abadi. 'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk. Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.

Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan. Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu. Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja.

Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya. Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan. Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan. Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat.

Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor. Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan. Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan.

Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya. Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan. Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.

wuduk

Sunday, April 12, 2009

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang

  1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
  2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
  3. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
  4. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
  5. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
  6. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
  7. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
  8. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
  9. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
  10. Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
  11. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
  12. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
  13. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
  14. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
  15. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih

Dosa-dosa Gugur Apabila Solat

Daripada Abu Zar r.a berkata, '' suatu ketika Rasulullah saw keluar pada musim sejuk semasa daun-daun gugur, lantas Baginda saw memegang dahan dari sebatang pokok maka daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut.

Baginda saw bersabda : ''wahai Abu Zar.'' Saya menyahut, ''saya, ya Rasulullah .''

kemudian,

Baginda saw bersabda : ''Apabila seseorang itu menunaikan solah untuk mendapat keredaan Allah SWT, dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini dari pokok.''

(hadith riwayat Imam Ahmad)


tunaikan solat semata-mata untuk mendapatkan keredaan dari Allah SWT. maksudnya, tunaikan solat dengan khusyuk dan khuduk untuk sukakan Allah ( supaya Allah suka kepada kita)