CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, November 29, 2009

Rahmat Ujian Tanda Kasih Allah

Dalam kita menghadapi ujian, pasti ada jalan keluarnya.
Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal.

Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi,

"Bukankah Subuh itu sudah tiba."
Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya. Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.

Oleh itu, laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus kepada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya. Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar.

Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya. Ini ditegaskan lagi oleh Allah,
"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya (QS Ath-Thalaq:4).
Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan,
"Maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." (QS Al: Insyirah:5-6)
Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.

Wednesday, November 25, 2009

Hadiah Dari TUHAN

Hadiah ialah sesuatu yang menjanjikan kemanisan dan keseronokkan. Tambahan pula jika ia datang dari orang yang kita sayang. Ia akan menjadi lebih bermakna jika kita tidak pernah memilikinya dan sangat mendambakan hadiah itu. Tapi, jika hadiah yang kita perolehi itu ialah sesuatu yang kita pernah atau telah miliki tentu sahaja kita tak akan menghargainya, atau jika kita menghargainya sekali pun, mungkin tidak lama.

Kemanisan mendapat sesuatu yang memang kita dambakan ialah satu kemanisan yang akan menjanjikan satu rasa kebahagiaan dan keseronokkan yang tak mungkin dapat digambarkan. Dan jika hadiah itu rosak atau hilang, kita akan merasakan satu kehilangan yang teramat sangat.

Islam yang terpahat di dalam dada kita merupakan hadiah yang paling berharga dan sangat di dambakan oleh sesiapa sahaja walaupun mungkin kita dan ramai lagi diluar sana yang tidak menyedarinya.

Bagi kita yang sudah dilahirkan sebagai muslim, mungkin ada yang tidak memahami betapa manisnya mengecap nikmat Islam, tapi bagi mereka yang bukan Muslim dan kemudiannya mendapat hidayah untuk memeluk Islam,nikmat Islam itu seumpama setitis air yang sangat didambakan setelah lama kehausan, sebagai seberkas cahaya setelah lama kegelapan.

Ya, kita faham Islam itu agama yang satu-satunya diredhai, tetapi berapa ramai muslim yang hanya pada namanya? Berapa ramai pula yang tidak memikul tugas dan menjadi seperti yang disyahadahkan? Berapa ramai pula saudara baru yang memiliki kefahaman dan pengetahuan mengenai Islam lebih baik dari kita?

Ini kerana mereka faham dan tahu betapa manisnya hadiah dari TUHAN, betapa manisnya menjadi manusia yang terpilih untuk mendapat rahmah dan hidayah-NYA. Jadi mereka menjaga hadiah itu lebih baik dan ingin pula berkongsi kemanisan itu dengan mereka yang sudah dan belum pernah atau dapat merasakan kemanisan yang mereka rasai.

Manusia itu pelupa sifatnya. Jadi jika mereka sudah mendapat atau diberi sesuatu itu sejak lahir lagi, mungkin mereka tidak faham nikmatnya hadiah itu. Jadi tinggallah mereka terus menjadi orang-orang yang pelupa.

Janganlah kita menjadi orang yang pelupa,kerana sekali kita terlupa dan biasakan diri untuk terus terlupa, takut-takut kita akan terus tidak pernah ingat betapa indahnya dan manisnya 'hadiah' yang kita perolehnya dengan mudah berbanding mereka yang terpaksa membelinya dengan darah,keringat dan air mata.